Aidiladha Serlah Ukhwah, Semangat Kebersamaan Penduduk Tangga Batu Terus Diperkukuh

MELAKA, 29 Mei – Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menyifatkan sambutan Aidiladha sebagai nikmat keindahan yang mampu mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian selepas menyertai beberapa program ibadah korban di sekitar Parlimen Tangga Batu khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput melibatkan beberapa lokasi antaranya Kampung Kemboja, Ayer Bangkong, Pondok Darul Muttaqin, Taman Desa Bertam dan Taman Rambai Utama.

Menurut beliau, setiap persinggahan memberi ruang untuk beliau menyantuni rakyat selain melihat sendiri semangat gotong-royong masyarakat dalam menjayakan ibadah korban.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat bersama-sama turun padang, beramah mesra dan melihat sendiri semangat gotong-royong masyarakat dalam menjayakan ibadah korban.

“Inilah sebenarnya nikmat keindahan Aidiladha untuk kita mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan ukhuwah dan membina masyarakat yang lebih bersatu padu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rais turut berkongsi berita gembira buat penduduk Taman Desa Bertam apabila sebuah masjid baharu bakal dibangunkan di kawasan berkenaan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Katanya, pembinaan masjid tersebut bukan sahaja akan menyelesaikan isu kemudahan solat Jumaat, malah bakal menjadi pusat penyatuan ummah di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, di tapak kita sedang berdiri inilah bakal dibangunkan sebuah masjid baharu yang pastinya memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

“Kita mahu masjid ini menjadi pusat penyatuan masyarakat dan medan memperkukuhkan perpaduan umat Islam,” ujarnya.

Beliau turut menyeru penduduk supaya mendaftar sebagai pengundi di kawasan tempat tinggal masing-masing agar lebih banyak pembangunan dapat diperjuangkan demi kesejahteraan rakyat setempat.

Rais turut menasihatkan masyarakat agar mengurangkan perbalahan sesama sendiri dan memperbanyakkan semangat kebersamaan demi masa depan generasi akan datang.

Sementara itu, ketika menghadiri program ibadah korban di Madrasah Al-Amin, Taman Rambai Utama, beliau melahirkan rasa bangga terhadap semangat muafakat penduduk yang berjaya menguruskan sebanyak 31 ekor lembu korban dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, pencapaian tersebut antara yang terbesar di Negeri Melaka dan membuktikan kekuatan masyarakat apabila bersatu hati serta saling membantu.

“Inilah kekuatan sebenar masyarakat kita apabila bergerak sebagai satu keluarga besar demi menjayakan syiar Islam,” katanya lagi.

Sebagai tanda penghargaan kepada semangat komuniti yang ditunjukkan penduduk Taman Rambai Utama, beliau turut mengumumkan sumbangan khas sebanyak RM2,000 untuk kegunaan komuniti setempat.

Tambah beliau lagi, pihaknya kini sedang menunggu pengesahan daripada pihak Mufti bagi membolehkan solat Jumaat dilaksanakan di surau kawasan berkenaan demi kemudahan penduduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa, petugas dan penduduk yang bertungkus-lumus menjayakan program ibadah korban serta berharap semangat pengorbanan dan ukhuwah terus subur dalam masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO