Ahmad Zahid Hargai Peranan Wartawan Sempena HAWANA 2026
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengamal media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, sambil mengiktiraf peranan besar wartawan dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab.
Dalam perutusan sempena HAWANA 2026 di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO berkata tugas wartawan pada masa kini semakin mencabar terutama dalam era digital yang bergerak pantas serta dipenuhi lambakan maklumat.

Menurut beliau, wartawan bukan sahaja berperanan menyampaikan berita, malah menjadi sumber rujukan penting dalam membantu rakyat memahami pelbagai isu semasa.
“Di sebalik setiap berita yang sampai kepada rakyat, ada wartawan yang bekerja tanpa mengira waktu demi memastikan maklumat disampaikan dengan tepat, pantas dan penuh tanggungjawab,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi pengamal media yang terus melaksanakan tugas secara profesional walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam dunia kewartawanan moden.
Beliau berkata hubungan baik yang terjalin bersama rakan-rakan media selama ini amat dihargai dan mengakui banyak pengorbanan wartawan tidak dilihat oleh masyarakat, namun tetap dilakukan demi memastikan rakyat memperoleh maklumat yang benar dan diyakini.
“Teruskanlah menyampaikan berita dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional 2026 kepada seluruh pengamal media tanah air. – UMNO Online
