Sabah Perkukuh Masa Depan Pertanian Melalui Kerjasama Strategik Dengan Ukraine

KOTA KINABALU, 28 Mei – Sabah terus mengorak langkah memperkukuh sektor pertanian negeri menerusi kerjasama strategik bersama Ukraine dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan serta daya tahan sektor agromakanan.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, pertemuan bersama Duta Ukraine ke Malaysia, TYT Dr. Hennadii Nadolenko membuka ruang kepada potensi kerjasama lebih luas khususnya dalam bidang pertanian moden dan teknologi agro.

Menurut beliau, Sabah perlu bergerak melangkaui kebergantungan sedia ada dengan mengambil langkah berani ke arah pemodenan sektor pertanian demi menjamin masa depan bekalan makanan negeri.

“Sabah mesti bergerak melangkaui kebergantungan dan mengambil langkah berani untuk memperkukuh keselamatan makanan serta daya tahan sektor pertanian negeri.

“Kepakaran Ukraine dalam pertanian mekanisasi dan pertanian tepat memberi peluang besar kepada Sabah untuk mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa bentuk kerjasama konkrit telah dibincangkan termasuk pemetaan tanah secara tepat menggunakan teknologi moden, pembangunan TVET dan latihan kemahiran tenaga kerja masa depan serta pelaksanaan projek perintis bersama pakar dari Ukraine di Sabah.

Tambah beliau, kerjasama tersebut bukan sekadar hubungan diplomatik semata-mata, sebaliknya menjadi langkah strategik bagi meletakkan Sabah sebagai hab pertanian moden serantau dan pintu masuk ke pasaran ASEAN.

“Kita mahu melihat Sabah muncul sebagai peneraju, bukannya pengikut dalam membentuk masa depan pertanian yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha sedang digerakkan ke arah memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara SBCC (DPBS) dan Kedutaan Ukraine dengan penekanan terhadap pelaksanaan serta pencapaian hasil yang nyata. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO