Program Qurban Perdana UMNO Labuan Perkukuh Semangat Kebersamaan

LABUAN, 28 Mei – Program Qurban Perdana UMNO Bahagian Labuan Kali Ke-18 berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat gotong-royong dan ukhuwah di Balai Raya Kampung Patau-Patau 2, semalam.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, program tahunan tersebut melibatkan penyembelihan sebanyak enam ekor lembu yang dilaksanakan bermula seawal jam 9.30 pagi hingga selesai sekitar jam 5 petang.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, program berkenaan bukan sahaja menjadi simbol ibadah dan pengorbanan sempena Aidiladha, malah turut mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta kepimpinan parti.

“Inilah semangat sebenar perjuangan dan kebersamaan dalam keluarga besar UMNO iaitu bukan sahaja memperjuangkan rakyat ketika susah dan senang, tetapi terus menyantuni masyarakat melalui budaya kebajikan, pengorbanan dan perpaduan yang telah lama menjadi teras perjuangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO Zon 7 yang dipengerusikan oleh Basran Yunus atas komitmen dan usaha menjayakan program berkenaan dengan lancar serta tersusun.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Bashir Alias; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khalid Abd Ghani serta kepimpinan UMNO Bahagian dan cawangan termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh Labuan.

Dalam pada itu, Mohd Rafi berkata agihan daging korban yang dilaksanakan diharap dapat membantu golongan memerlukan selain membawa kegembiraan kepada masyarakat setempat.

Beliau turut berharap semangat silaturahim, gotong-royong dan kasih sayang sesama insan akan terus diperkukuhkan demi agama, bangsa dan tanah air. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO