Kurniaan Korban Agong Cermin Kasih Sayang Institusi Diraja Johor – Onn Hafiz

SIMPANG RENGGAM, 28 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengurniakan sebanyak 148 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M untuk diagihkan kepada rakyat Johor.

Menurut beliau, kurniaan penuh bermakna itu mencerminkan kasih sayang serta keprihatinan Institusi Diraja Johor yang sentiasa dekat di hati Bangsa Johor.

“Patik dan seluruh rakyat jelata merafak sembah setinggi-tinggi kasih atas kurniaan ini serta mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan berada dalam rahmat serta lindungan Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sempena Aidiladha tahun ini, beliau bersama isteri turut berkesempatan turun padang di Simpang Renggam dengan memulakan program Ziarah Kasih Keluarga Angkat di Kampung Batu 7 sebelum bersama masyarakat setempat menjayakan Program Korban Perdana Simpang Renggam.

Sebanyak 32 ekor lembu korban telah diagihkan di seluruh kawasan Simpang Renggam melibatkan masjid, surau, kampung serta pelbagai pihak bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat dinikmati masyarakat setempat.

Onn Hafiz berkata, semangat kebersamaan yang ditunjukkan warga Simpang Renggam dalam menjayakan ibadah korban memberikan makna yang cukup besar dan mencerminkan nilai perpaduan serta keikhlasan dalam kalangan masyarakat.

“Ibadah korban bukan sekadar simbol pengorbanan, tetapi juga lambang kasih sayang, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga Simpang Renggam dan Bangsa Johor serta berharap ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT dan terus memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat.

“Semoga semangat Aidiladha ini terus menyatukan Bangsa Johor dalam nilai kasih sayang, keikhlasan dan semangat saling membantu antara satu sama lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO