Bangsa Johor Wajar Kekalkan Kestabilan, Tolak Eksperimen Politik
LEDANG, 28 Mei – Rakyat Johor diseru supaya terus mengekalkan kestabilan politik dan tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 sebagai medan eksperimen politik yang boleh menjejaskan pembangunan serta masa depan negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gambir, Sahrihan Jani berkata, sejak Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Johor pada tahun 2022, negeri itu berjaya ditadbir dengan amanah serta memberi fokus utama kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

Menurut beliau, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini telah mewujudkan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur sekali gus membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Johor kini berada pada landasan pembangunan yang amat memberangsangkan hasil kestabilan politik, pentadbiran yang tersusun serta keyakinan tinggi pelabur terhadap masa depan negeri ini.
“Dalam keadaan ekonomi negeri yang semakin berkembang pesat, Bangsa Johor wajar membuat pilihan yang matang dengan mengekalkan kestabilan dan tidak bereksperimen dalam PRN Johor 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, pelbagai spekulasi berkaitan kemungkinan PRN Johor semakin diperkatakan mutakhir ini susulan perkembangan politik semasa serta gerakan jentera parti-parti politik.
Namun tegas beliau, agenda pembangunan negeri tidak seharusnya terganggu dengan ketidaktentuan politik dan perebutan kuasa seperti yang berlaku di beberapa negeri lain.
Katanya lagi, Johor kini muncul sebagai antara pemacu ekonomi utama negara menerusi kemasukan pelaburan bernilai tinggi, pembangunan pusat data, sektor logistik serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Semua kejayaan ini tidak datang secara kebetulan, tetapi hasil kestabilan pentadbiran serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, rakyat Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan fokus bekerja untuk rakyat, bukannya politik yang tidak menentu,” ujarnya.
Sahrihan turut mengingatkan rakyat agar menilai secara rasional pengalaman politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang menurutnya telah mencetuskan ketidakpastian politik.
“Kita menghormati demokrasi dan hak rakyat untuk membuat pilihan. Namun rakyat juga perlu menilai sama ada eksperimen politik terdahulu benar-benar membawa manfaat atau sekadar mewujudkan ketidakstabilan yang akhirnya merugikan negeri dan generasi muda,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru Bangsa Johor supaya terus mempertahankan perpaduan, menolak politik ekstrem dan memastikan Johor kekal sebagai negeri maju, aman serta diyakini pelabur dan rakyat.
“Masa depan Johor terlalu penting untuk dipertaruhkan dengan eksperimen politik. ‘Kestabilan Hari Ini, Jaminan Masa Depan Johor’,” katanya lagi. – UMNO Online
