UMNO Seputeh Perkukuh Gerak Kerja Hadapi Cabaran Politik Semasa
KUALA LUMPUR, 26 Mei – UMNO Bahagian Seputeh terus memperkukuh kesiapsiagaan politik dan gerak kerja organisasi menjelang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) pada bila-bila masa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Rafii berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Seputeh Bilangan 02/2026 yang berlangsung malam tadi.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada persiapan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 7 Jun depan.
“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli UMNO cawangan-cawangan di Bahagian Seputeh yang telah menjalankan tanggungjawab mengadakan Persidangan Tahunan UMNO 2026 dengan penuh semangat dan tertib,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar memainkan peranan aktif sama ada di lapangan mahupun di media sosial bagi menangkis pelbagai dakyah, fitnah dan tohmahan terhadap UMNO serta Barisan Nasional.
“Semua ahli perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN atau PRU yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Seputeh akan terus kekal komited dan bersatu hati dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. – UMNO Online
