UMNO Perlis Tekan Kepentingan Kestabilan Politik
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis berpandangan kestabilan politik dan pentadbiran negeri perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara baik dan teratur.
Pengerusinya, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah negeri kecil yang sedang membangun, Perlis memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berfungsi serta diberikan ruang untuk melaksanakan tanggungjawab sehingga tamat tempoh mandat yang diberikan rakyat.
Beliau berkata, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini telah banyak menitahkan pelbagai cadangan dan aspirasi berkaitan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, dalam titah sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83, Tuanku Raja Perlis menegaskan setiap projek yang dirancang perlu dilaksanakan secara cekap, dipantau dengan rapi dan disiapkan dalam tempoh munasabah supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa kelewatan.
Rozabil berkata, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran ketidaktentuan ekonomi global, kenaikan harga barangan, kos perkhidmatan serta tekanan kos sara hidup yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Segala perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negeri serta inisiatif rakyat memerlukan suasana pentadbiran yang kondusif, kerjasama politik yang matang serta tumpuan penuh daripada kerajaan negeri demi memastikan kesejahteraan rakyat Perlis terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut berpandangan sebarang perbalahan politik yang berpanjangan tidak memberi manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri ketika ini terdiri daripada parti BERSATU dan PAS yang berada dalam gabungan atau kerjasama politik yang sama.
Katanya, keutamaan semua pihak ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan serta memastikan kesejahteraan rakyat Perlis terus terbela.
Menurut beliau, kestabilan politik merupakan asas penting kepada kemajuan negeri dan keyakinan rakyat terhadap masa depan Perlis, justeru semua pihak perlu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat melebihi sebarang perbezaan serta kepentingan politik.- UMNO Online
