Menjelang Aidiladha, Jeffery Nor Sumbang Lembu Korban Untuk Warga Putatan

PUTATAN, 26 Mei — Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menzahirkan rasa syukur apabila lima ekor lembu korban berjaya dibawa ke Putatan sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seekor lembu adalah sumbangan daripada FELCRA Balingian manakala empat ekor lagi hasil sumbangan bersama beliau dan beberapa rakan lain yang turut ingin menyertai ibadah korban.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat menyumbang lima ekor lembu korban. Seekor merupakan sumbangan daripada FELCRA Balingian sendiri dan empat ekor lagi daripada saya bersama sahabat-sahabat yang mahu menyumbang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan yang membantu menguruskan penghantaran lembu korban dari Tandek, Kota Marudu ke Putatan.

“Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang membantu membawa lembu-lembu korban ini dari Tandek, Kota Marudu ke Putatan. Saya doakan semoga semuanya selamat sampai dan dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Tambah beliau, sumbangan korban tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dan pengorbanan sempena Aidiladha.

Sebelum itu dalam program berasingan beliau telah menyerahkan kunci sebuah rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah siap dibina kepada penerima, Mat Jaih Abas di Kampung Ketiau, di sini.

Penyerahan ini adalah sebagai simbolik kejayaan pelaksanaan program kerajaan dalam membantu golongan luar bandar yang memerlukan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Program PPRS merupakan antara inisiatif utama kerajaan melalui KKDW yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya masyarakat luar bandar yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar.

Melalui program ini, penerima yang layak akan menerima bantuan pembinaan rumah baharu atau baik pulih rumah yang uzur demi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO