Jualan Rahmah Cerminan Komitmen UMNO Bantu Rakyat – ADUN Sungai Lui

JEMPOL, 26 Mei – Program Jualan Rahmah yang dianjurkan di DUN Sungai Lui sempena menjelangnya sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar platform jualan barangan murah kepada rakyat.

Sebaliknya, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, program seumpama itu menjadi medium terbaik untuk wakil rakyat mendekati masyarakat dan memahami denyut nadi rakyat apabila dilaksanakan terus di kawasan perumahan serta kampung.

“Inilah antara sebab mengapa Umno terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu bagi memastikan perut dan poket rakyat tidak terus terhimpit akibat krisis global serta peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah, malah memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya ketika musim perayaan apabila ramai pulang ke kampung bagi membuat persiapan Aidiladha.

Menurut beliau, dalam situasi tekanan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup yang masih dirasai rakyat, inisiatif seperti Program Jualan Rahmah sedikit sebanyak mampu meringankan beban perbelanjaan harian masyarakat.

“Program seperti ini amat bermakna terutama ketika rakyat sedang membuat persiapan menyambut Aidiladha.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang masih memberi tekanan kepada ramai keluarga di Sungai Lui, inisiatif sebegini dapat membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya lagi.

Beliau berkata, menjelang musim perayaan kebiasaannya perbelanjaan isi rumah akan meningkat, termasuk untuk keperluan dapur, persiapan menerima tetamu serta aktiviti korban.

Katanya, program seperti itu bukan sahaja membantu dari sudut ekonomi, malah membolehkan rakyat menyambut perayaan dalam suasana lebih tenang tanpa tekanan kos yang melampau.

Selain membantu pengguna, beliau turut berkata program jualan murah itu berjaya menghidupkan suasana komuniti setempat apabila masyarakat dapat berkumpul serta mengeratkan hubungan sesama penduduk.

Mohd Razi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dan berharap inisiatif sama dapat diteruskan pada masa akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO