Aidiladha Serlah Nilai Pengorbanan, Keikhlasan Dan Kebersamaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam agar menghayati semangat pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. merupakan teladan agung yang memperlihatkan kekuatan iman serta kasih sayang dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

“Aidiladha mengingatkan kita tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT. Kisah Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. menjadi teladan besar tentang kekuatan iman dan kasih sayang dalam melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya menerusi perutusan Aidiladha.
Beliau turut berharap sambutan Aidiladha tahun ini dapat memperkukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Semoga sambutan Aidiladha ini mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai semangat kebersamaan dan menggalakkan kita terus membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata ibadah korban bukan sekadar simbol keagamaan, malah mencerminkan nilai keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki demi kesejahteraan masyarakat.
“Ibadah korban juga melambangkan keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menitipkan doa buat para jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci agar segala urusan mereka dipermudahkan dan dikurniakan haji yang mabrur.
“Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H kepada seluruh umat Islam. Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan dan rahmat buat kita semua, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
