Ahmad Razif Ziarah Keluarga Remaja Maut Dalam Kemalangan Tragis

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman berbesar hati menziarahi keluarga mendiang Wan Han Keong, seorang remaja yang terkorban dalam kemalangan tragis sehingga menyebabkan kepalanya terputus dalam kejadian tersebut.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata kisah pilu yang menimpa keluarga itu bukan sahaja menyentuh hati, malah memperlihatkan ketabahan seorang bapa dalam menghadapi ujian berat.

“Saya bersama Norizan Hassan (Mc Jane) hadir menziarahi keluarga Wan Tee Tun (Ah Tun), sebuah keluarga Cina yang sedang melalui saat paling sukar dalam kehidupan mereka. Sayu hati mendengar sendiri cerita daripada Ah Tun dan Mc Jane tentang detik tragis tersebut.

“Mungkin ramai sudah mengetahui kisah kemalangan ini, namun hari ini saya lebih menyoroti kekuatan jiwa seorang ibu serta keberanian luar biasa Mc Jane yang membantu menguruskan keadaan ketika itu.

“Bukan mudah untuk berhadapan situasi sebegitu. Namun Mc Jane tetap cekal dan berani melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dengan penuh rasa ihsan, hormat dan kemanusiaan tanpa mengira bangsa serta agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam kunjungan tersebut, Ahmad Razif turut diiringi oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd Hafiz Aziz bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga Ah Tun selain penghargaan khas kepada Mc Jane atas keikhlasan beliau membantu ketika tragedi berlaku.

“Kami turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga serta tanda penghargaan kepada Mc Jane atas keberanian dan keikhlasan beliau membantu dalam saat yang amat sukar itu.

“Dalam saat musibah seperti ini, kita semua adalah satu keluarga besar sebagai rakyat Malaysia. Semoga Ah Tun dan keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta dipermudahkan segala urusan,” ujar beliau.

Dalam kejadian minggu lalu, Han Keong maut selepas van Nissan Vanette yang dinaiki bersama Tee Tun bertembung dengan sebuah Volkswagen Golf GTI di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu.

Mangsa yang baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu membantu bapanya dalam kerja pendawaian elektrik sejak awal tahun ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu juga sedang menunggu keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) dan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang automotif di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun atau Politeknik Kota Bharu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO