57 Rumah Rosak Dipukul Ribut, KKR Gerak Bantuan Segera – Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan meluangkan masa menziarahi mangsa kejadian ribut yang melibatkan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuarters JKR Batu 4 1/2, Sungai Besi.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menyampaikan bantuan kepada semua keluarga mangsa sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Kementerian Kerja Raya terhadap beban yang sedang ditanggung mereka.

Katanya, lawatan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam yang terkesan apabila bencana ribut menyebabkan puluhan kediaman mengalami kerosakan serius.

“57 buah rumah rosak, sedang dibaiki. Sebahagian tinggal di khemah dlm bangunan surau. Rm3 juta diperlukan utk baiki keseluruhan.

“Ada 150 kuarters rumah teres selain rumah apartment di kws ini. KKR akan memberi pertimbangan kelulusan sewajarnya,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pontian, tindakan pantas turun padang itu jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat dan penjawat awam sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan musibah yang tidak diduga.

Turut hadir bersama beliau ialah Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman yang menjalankan tugas Ketua Pengarah KKR, Datuk Ir Ibrahim Esa, Ir Abu Bakar JKR Wilayah, pegawai-pegawai JKR serta keluarga mangsa yang terlibat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO