TPM Zahid Puji Semangat Juang Sze Fei-Izzuddin Di Malaysia Masters
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji semangat juang dan aksi bertenaga beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, yang muncul naib juara pada final Malaysia Masters 2026.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau malam tadi, Ahmad Zahid berkata pencapaian pasangan itu tetap membanggakan meskipun gelaran juara tidak memihak kepada Malaysia.

Beliau turut menyifatkan prestasi yang dipamerkan sepanjang kejohanan itu sebagai inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Terus melangkah lebih jauh, bangkit lebih kuat dan jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan di pentas dunia,” katanya.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan bahawa seluruh rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh di belakang gandingan berkenaan bagi memburu kejayaan pada masa hadapan.
“Keep it up, guys! Rakyat Malaysia sentiasa berdiri teguh di belakang kalian,” katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tumpas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 16-21, 17-21 di Unifi Arena, Bukit Jalil, semalam. – BERNAMA
