Semoga WI Terus Kekal Relevan, Jadi Wadah Penting Perkukuh Peranan Wanita

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap agar Perkumpulan Perwakilan Perempuan (WI) akan terus kekal relevan dan menjadi wadah penting dalam memperkukuh peranan wanita.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah hadir untuk merasmikan Majlis Perhimpunan WI dan Mesyuarat Agong Peringkat Negeri Johor kali ke-70 pada Ahad.

“Alhamdulillah, selesai merasmikan program kesihatan di Kampung Sungai Nibong, saya terus bergerak ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat untuk menghadiri dan merasmikan Majlis Perhimpunan WI dan Mesyuarat Agong Peringkat Negeri Johor kali ke-70.

“Tahun ini cukup istimewa apabila Batu Pahat diberi penghormatan sebagai tuan rumah, lebih-lebih lagi pertubuhan WI kini telah menjangkau usia 70 tahun. Pastinya perjalanan yang panjang ini membuktikan peranan besar WI dalam memperkasa wanita dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejak sekian lama.

“Saya juga amat berbesar hati dapat bersama-sama barisan kepimpinan dan ahli-ahli WI dari seluruh Negeri Johor yang sentiasa komited dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan wanita,” katanya.

Beliau turut berharap agar WI dapat mempererat ukhuwah dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan.

“Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Amat Mulia Datuk Tengku Shireen Almarhum Datuk Paduka Tengku Sulaiman, Timbalan Yang Dipertua WI Malaysia, Datin Narimah Haji Ahmad selaku Pengerusi WI Negeri Johor dan Rafikah Tan Sri Datuk Redzuan, Pengerusi WI Batu Pahat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola.

“Semoga WI terus kekal relevan dan menjadi wadah penting dalam memperkukuh peranan wanita, mempererat ukhuwah dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan demi kesejahteraan masyarakat serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO