Rafizi Gigih Alih Isu – Suraya Yaakob
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Tindakan Rafizi Ramli terus menyerang UMNO selepas meninggalkan PKR dilihat semakin memperlihatkan kegagalan beliau menerima realiti kekalahan politik sendiri.
Bagi Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob, kenyataan Rafizi yang cuba menggambarkan UMNO sebagai punca ketegangan kaum dan agama hanyalah percubaan politik untuk mencari kambing hitam demi menutup kelemahan dirinya sendiri.
Menurut beliau, naratif yang dimainkan Rafizi kononnya Perdana Menteri terlalu berhati-hati terhadap UMNO sehingga gagal mengurus isu kaum dan agama bukan sahaja tidak adil, malah cuba memesongkan fakta sebenar mengenai peranan UMNO dalam kerajaan perpaduan.
Realitinya, UMNO sejak dahulu merupakan antara tonggak utama kestabilan negara dan parti yang banyak memainkan peranan dalam memastikan hubungan antara kaum dapat dikawal secara matang dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang negara.
Suraya berpandangan bahawa ketegasan UMNO dalam isu melibatkan agama Islam dan sensitiviti Melayu sering disalah tafsir oleh pihak tertentu demi keuntungan politik.
Dalam isu membabitkan kontroversi KK Mart sebelum ini misalnya, UMNO mengambil pendekatan tegas bagi mempertahankan sensitiviti umat Islam, namun masih berada dalam batas undang-undang serta tidak pernah mengajak rakyat melakukan tindakan melampau.
Begitu juga dalam isu melibatkan kenyataan Ahli Parlimen Pas berhubung para Sahabat Nabi SAW, UMNO dilihat antara pihak paling awal tampil mendesak permohonan maaf serta tindakan sewajarnya diambil. Ketegasan itu menurut Suraya adalah tanggungjawab moral sebuah parti Melayu-Islam yang memahami sensitiviti rakyat majoriti negara ini.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Rafizi hanya muncul apabila sesuatu isu memberi kesan langsung kepada kepentingan politik dirinya sendiri, manakala dalam banyak isu 3R yang sensitif kepada rakyat, beliau memilih untuk berdiam diri.
Bagi Suraya, kenyataan Rafizi sukar dipisahkan daripada krisis politik peribadi yang sedang dihadapinya selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar.
Kekalahan tersebut bukan sahaja menjejaskan pengaruh beliau dalam PKR, malah mencalarkan reputasi politik yang sebelum ini sering dibina atas imej “strategis reformasi”. Situasi itu akhirnya membawa Rafizi keluar daripada PKR dan memilih menyertai parti baharu.
Menurut pemerhati politik, sekiranya Rafizi memenangi jawatan tersebut, besar kemungkinan beliau tidak akan menyerang UMNO atau memainkan naratif bahawa kerajaan gagal kerana terlalu menjaga hubungan dengan parti itu.
Dalam masa sama, Suraya turut melihat tekanan politik terhadap Rafizi semakin memuncak apabila timbul siasatan berkaitan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan syarikat semikonduktor ARM Holdings.
Walaupun siasatan masih berjalan, pendedahan demi pendedahan berkaitan isu tersebut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap imej politik Rafizi, terutama apabila ia menjadi perhatian besar media nasional selama beberapa hari berturut-turut.
Keadaan itu, menurut beliau, mungkin menjadi antara faktor mengapa Rafizi kini semakin agresif menyerang Anwar termasuk UMNO bagi mengalihkan fokus rakyat daripada kemelut yang sedang melanda dirinya.
Suraya menegaskan Malaysia sebagai negara majmuk memerlukan semua pemimpin politik bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab.
Politik menyalahkan pihak lain semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah rakyat. Sebaliknya, semua parti perlu bersama-sama menjaga sensitiviti kaum dan agama tanpa meniup sentimen yang boleh merosakkan keharmonian negara.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan Malaysia selama ini tidak dibina melalui budaya menyerang antara satu sama lain, tetapi melalui sikap saling menghormati, memahami batas sensitiviti dan meletakkan kepentingan negara melebihi percaturan politik peribadi.
Dalam suasana politik yang semakin panas hari ini, rakyat sebenarnya mahu melihat pemimpin yang membawa penyelesaian, bukannya pemimpin yang terus mencari musuh untuk menyelamatkan karier politik sendiri. – MalaysiaHot
