Kerajaan Negeri Perak Perkasa PMKS Menerusi Program Pembangunan Usahawan – Salbiah
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Perak berkata ini termasuk membantu usahawan luar bandar yang berdepan cabaran peningkatan kos operasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.
“Melalui Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri komited memperuntukkan RM1.5 juta untuk program pembangunan usahawan dan RM1.5 juta lagi bagi Geran GERAK 2026.
“Sinergi erat bersama lebih 40 agensi negeri dan Persekutuan seperti SADC, SKM, MARA, TEKUN, SME Corp, AIM dan lain-lain digerakkan demi membina ekosistem bantuan yang menyeluruh.
“Buat para usahawan semua, jangan mudah mengalah. Terus cekal, positif, dan rebutlah segala peluang serta geran bersasar yang disediakan demi melonjakkan kualiti produk serta jenama tempatan kita ke tahap tertinggi,” katanya.
Salbiah berkata demikian menerusi satu perkongsian di Facebook selepas menyempurnakan perasmian Jelajah Hari Terbuka Usahawan & Koperasi Negeri Perak 2026 destinasi kedua di Arena Batu Kurau, Taiping.
Menurut beliau program turun padang bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan pelbagai agensi keusahawanan ini adalah platform one-stop untuk menyantuni serta membantu golongan PMKS.
“Syabas kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan agensi yang menjayakan program di Batu Kurau ini,” ujar beliau. – UMNO Online
