Kemenangan JDT Hadiah Istimewa Buat Bangsa Johor – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa syukur atas kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2025/26 selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final yang berlangsung penuh semangat.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu pencapaian membanggakan buat seluruh rakyat Johor serta bukti komitmen berterusan dalam memartabatkan sukan bola sepak negeri itu.
“Syukur Alhamdulillah. Tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2025/26 selepas menewaskan Kuching City FC dengan kemenangan 2-0 dalam aksi final yang penuh semangat dan mendebarkan.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepimpinan, komitmen dan usaha berterusan dalam memartabatkan bola sepak Johor sehingga JDT terus menjadi kebanggaan bukan sahaja di peringkat negara, malah di persada dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook
Susulan kejayaan tersebut, Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor bersetuju mengisytiharkan Isnin, 25 Mei 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi Negeri Johor, atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.
Menurut beliau, kemenangan itu merupakan hadiah istimewa buat seluruh Bangsa Johor serta penyokong setia JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan dalam setiap perlawanan dan musim.
“Terima kasih juga kepada barisan pemain, jurulatih, pengurusan pasukan dan seluruh keluarga besar JDT atas kejayaan yang cukup membanggakan ini,” ujar beliau. – UMNO Online
