Khaled Bertemu Syarikat Pertahanan Terkemuka Turkiye, Otokar

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meneruskan lawatan kerjanya ke Republik Turkiye dengan mengadakan pertemuan bersama pihak Otokar, sebuah syarikat utama negara itu dalam bidang pertahanan yang menghasilkan kenderaan berperisai serta platform mobiliti ketenteraan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik industri pertahanan antara Malaysia dan Republik Turkiye, khususnya dalam memperkasa agenda pembangunan keupayaan tempatan.

“Otokar mempunyai kerjasama dengan Boustead Holdings Berhad dalam salah satu Projek Pertahanan Nasional di bawah Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), iaitu pembangunan keupayaan pemasangan dan pembuatan platform casis beroda.

“Pertemuan hari ini turut menyentuh kerjasama antara Otokar dan Boustead Holdings Berhad yang diperkukuh semasa DSA 2026 di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian usaha Otokar memperluas kehadirannya di rantau Asia-Pasifik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohamed Khaled berkata kerjasama ini berpotensi membuka ruang lebih luas dalam pembangunan keupayaan industri pertahanan.

Menurut beliau ini termasuk aspek penyelenggaraan, pemasangan, pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem sokongan di Malaysia.

“Ia bukan sekadar hubungan komersial, tetapi tentang membina hubungan jangka panjang berasaskan kepercayaan, kesinambungan dan kepentingan bersama, sekali gus menyokong agenda “self-reliance” negara serta memperkukuh industri pertahanan tempatan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO