UMNO Ranau Terus Prihatin, Santuni Mangsa Kebakaran Kampung Timbua
RANAU, 22 Mei – Prihatin terhadap nasib mangsa kebakaran di Kampung Timbua, Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat, telah mengetuai satu lawatan kebajikan bagi menyantuni keluarga yang terjejas akibat insiden tersebut.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan berupa bakul makanan serta sumbangan wang tunai sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mangsa yang terkesan.

Junaidi berkata, bantuan tersebut diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam kejadian kebakaran itu.
“Bantuan ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi tanda solidariti dan keprihatinan kami terhadap kesusahan yang dialami oleh penduduk Kampung Timbua. Kami berharap mereka terus tabah dan bangkit semula,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya untuk terus menyalurkan bantuan susulan sekiranya diperlukan, selain menggalakkan kerjasama masyarakat setempat dalam membantu mangsa memulihkan kehidupan mereka selepas musibah tersebut.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Ranau, Rosnati AR; Setiausaha Bahagian, Sharudin Wainsing; Naib Ketua Puteri, Setiausaha Puteri serta Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Wanita UMNO Bahagian Ranau. – UMNO Online
