UMNO-BN Lenggong Perkukuh Jentera Hadapi Cabaran Politik Semasa
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Sr Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan usaha memperkukuhkan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Lenggong terus dipergiat bagi memastikan kekuatan parti di semua peringkat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO bahagian berkenaan seterusnya berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama pimpinan serta jentera parti di peringkat bahagian dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk PDM Ulu Kenderong bagi menyusun strategi dan memperkemaskan gerak kerja jentera.
Menurut beliau, usaha memperkukuhkan jentera di PDM Ulu Kenderong turut diberikan perhatian khusus dalam usaha memastikan kawasan berkenaan kembali dimenangi BN.
Menurutnya, sebagai Pengerusi Bilik Gerakan BN Lenggong, beliau dipertanggungjawabkan memastikan jentera BN di semua peringkat dapat berfungsi dengan baik serta bersedia menghadapi sebarang cabaran politik semasa.
“Sebagai Pengerusi Bilik Gerakan BN Lenggong, saya diberikan tanggungjawab memastikan Jentera BN disemua peringkat berfungsi dengan baik. Insya Allah kita akan bergerak bersama-sama dalam usaha memastika kejayaan BN Lenggong,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Pada masa sama, beliau berkata Program SAYANGI LENGGONG yang menyasarkan 10,000 individu untuk ditemui serta menerima sumbangan turut dilihat sebagai platform mendekati rakyat dengan pelaksanaan awal membabitkan 1,300 penerima melalui Wanita UMNO Bahagian Lenggong. – UMNO Online
