Kerajaan Johor Kecam Akaun TikTok Palsu Guna Imej Agong
JOHOR BAHRU, 22 Mei – Kerajaan Negeri Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang mewujudkan akaun TikTok palsu menggunakan nama dan imej Sultan Ibrahim dengan kandungan bersifat biadab serta menghina institusi Diraja.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbuatan memanipulasi wajah Seri Paduka Baginda menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain memuat naik tuduhan palsu dan imej yang menjatuhkan maruah Tuanku, merupakan satu penghinaan serius terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

“Perbuatan memanipulasi wajah Seri Paduka Baginda menggunakan teknologi AI, memuat naik tuduhan palsu serta menggambarkan imej yang menjatuhkan maruah Tuanku adalah satu penghinaan yang amat serius,” katanya.
Beliau berkata tindakan tersebut bukan sahaja mencemar nama baik Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara dan Raja Melayu beragama Islam, malah turut menyentuh sensitiviti umat Islam serta menggugat adab dan tata susila rakyat Malaysia terhadap institusi Diraja.
Kerajaan Negeri Johor, katanya, tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina Sultan Ibrahim dan menegaskan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, kebencian serta penghinaan terhadap institusi Diraja.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan segera, tegas dan sekeras-kerasnya terhadap individu atau pihak yang terlibat, termasuk dalang di sebalik akaun palsu tersebut.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat, khususnya Bangsa Johor, agar tidak menyebarkan kandungan palsu tersebut dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang hantaran yang bersifat menghina institusi Diraja,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT sentiasa melindungi Sultan Ibrahim serta memelihara institusi Diraja daripada segala fitnah dan niat jahat. – UMNO Online
