UMNO Beaufort Perkukuh Jentera PRU-16, Fokus Pertahan Kerusi Parlimen

BEAUFORT, 21 Mei – UMNO Bahagian Beaufort terus memperkukuh gerak kerja organisasi apabila Mesyuarat UMNO Bahagian Beaufort kali ke-2/2026 menumpukan beberapa agenda penting termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata mesyuarat tersebut memberi tumpuan utama kepada pengukuhan jentera pilihan raya di semua peringkat termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan bagi memastikan kesinambungan kemenangan Barisan Nasional di Parlimen Beaufort.

Menurut beliau, kekuatan jentera akar umbi menjadi fokus utama dalam usaha mengekalkan sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita akan memperkemaskan gerak kerja di semua peringkat, khususnya jentera PDM dan cawangan, supaya UMNO dan BN kekal relevan serta mampu mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort pada PRU-16,” katanya.

Ujarnya, mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperkasakan “Rumah Bangsa” sebagai platform mendekati pengundi, khususnya dalam kalangan bumiputera tempatan.

“Rumah Bangsa dilihat sebagai antara strategi penting bagi memperkukuh sokongan akar umbi di kawasan Beaufort.”

Selain itu katanya, UMNO Bahagian Beaufort menekankan usaha mempergiatkan penambahan ahli baharu, khususnya dalam kalangan Pemuda dan Puteri UMNO, bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus kukuh dan berdaya saing.

“Kita mahu generasi muda terus bersama UMNO. Penambahan ahli Pemuda dan Puteri sangat penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan parti ini tidak terputus,” tambah beliau.

Dalam mesyuarat sama, persediaan turut dibuat bagi penganjuran Persidangan UMNO Bahagian Beaufort yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai 2026 dengan persidangan tersebut dijangka dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ujar Awang Aslee lagi, UMNO Bahagian Beaufort tegas dengan komitmen untuk terus memperkukuh organisasi dan memastikan kesiapsiagaan penuh menghadapi PRU-16 demi kelangsungan perjuangan parti di kawasan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO