Mohd Jafni Komited Pastikan Pembangunan Johor Seimbang dan Menyeluruh
JOHOR BAHRU, 21 Mei – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor terus memperkukuhkan komitmen terhadap agenda pembangunan rakyat menerusi pelbagai program melibatkan infrastruktur, kebajikan serta pendidikan di beberapa kawasan sekitar Johor.
Hari ini beliau berkesempatan melaksanakan pembukaan jalan baharu sepanjang 4.2 kilometer ke Taman Perindustrian IOI yang kini siap sepenuhnya dan mula memberi manfaat kepada rakyat serta sektor pembangunan selain sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan rangkaian infrastruktur negeri.
“Jalan seperti ini bukan sekadar laluan, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan serta pembangunan kawasan sekitar secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Projek itu turut dilengkapi 138 tiang lampu jalan melibatkan lampu solar dan konvensional selain penanaman sebanyak 958 batang pokok sebagai sebahagian usaha mewujudkan pembangunan hijau dan lestari selaras dengan agenda pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Mohd Jafni turut meluangkan masa menziarahi sebuah keluarga warga emas yang uzur di Kampung Gunung Pulai.
Beliau berkata, kehadiran ke rumah keluarga tersebut menjadi peringatan tentang besarnya amanah kehidupan dan pentingnya keprihatinan terhadap rakyat yang memerlukan bantuan segera.
“Apa yang paling menyentuh hati ialah pengorbanan seorang anak yang tetap setia menjaga ibunya walaupun dirinya sendiri sedang sakit. Inilah kasih sayang sebenar dan amanah yang tidak semua orang mampu pikul dengan penuh kesabaran,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan tunai selain akan menguruskan tindakan
lanjut termasuk baik pulih atau pembinaan rumah baharu yang lebih selesa dan selamat.

Mohd Jafni juga turut meneruskan komitmen memperkasakan institusi pendidikan dan pembangunan insan. Beliau hadir ke bagi menyampaikan Sumbangan Outright Grant (OG) berjumlah RM20,000 untuk membantu pembinaan bangunan pentadbiran maahad.
Beliau berkata, institusi tahfiz bukan sekadar pusat pendidikan agama, tetapi medan melahirkan generasi pewaris ummah yang membawa al-Quran di dada serta memiliki sahsiah dan akhlak terpuji.
“Pembangunan negeri tidak boleh hanya diukur melalui bangunan dan pelaburan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana kita berjaya melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan cintakan agama,” katanya.
Dalam program berasingan, beliau turut hadir ke bagi menyampaikan bantuan OG sebanyak RM10,000 untuk pembinaan dan penyediaan papan putih di bilik darjah serta meja kerja di bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Menurut beliau, pendidikan perlu terus diberikan perhatian tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang kerana ia merupakan pelaburan paling penting dalam membina masa depan negeri yang lebih maju dan berdaya saing.
Mohd Jafni berkata, pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan keperluan rakyat dapat dilihat dan diselesaikan secara langsung.
“Kadang-kadang bantuan yang nampak kecil sebenarnya memberi kesan besar kepada keselesaan rakyat dan proses pembelajaran harian. Apa yang penting, setiap pembangunan dan bantuan mesti memberi manfaat terus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
