UMNO Terus Fokus Bela Rakyat, Bukan Politik Jatuhkan Pihak Lain – Mohd Rafi
LABUAN, 19 Mei – UMNO menegaskan komitmennya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat berbanding terlibat dalam politik menyerang pihak lain, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, dalam keadaan terdapat pihak tertentu yang masih saling menghina dan menjatuhkan imej orang lain, UMNO memilih pendekatan kerja lapangan dan penyelesaian masalah rakyat secara langsung.

“Dalam masa ada pihak yang masih sibuk menghina, memperkecilkan dan menjatuhkan orang lain, serta ada individu tertentu yang sedang mencari ruang sempit untuk mengembalikan kepercayaan yang telah mereka sendiri hancurkan, UMNO terus memilih untuk bekerja dan membela nasib rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan,” katanya.
Menurut beliau, antara fokus utama ialah isu banjir kilat yang sering berlaku di beberapa kawasan panas di Wilayah Persekutuan Labuan, yang memerlukan pemantauan dan tindakan berterusan di lapangan.
Beliau berkata beliau sendiri turun padang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menilai keadaan sebenar.
“Saya sempat turun bersama pihak JKR dan JPS bagi melihat sendiri beberapa ‘hot spot’ utama yang sering mengalami masalah banjir kilat di WP Labuan. Bagi saya, penderitaan rakyat tidak boleh hanya didengar di atas kertas atau dalam bilik mesyuarat, tetapi perlu dilihat sendiri di lapangan supaya penyelesaian yang lebih berkesan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua agensi tersebut atas kerjasama dalam mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah JKR, seluruh Team JKR serta pihak JPS yang sangat komited turun padang, mendengar sendiri masalah rakyat dan berbincang mencari penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang demi keselesaan dan keselamatan rakyat Labuan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara agensi adalah penting bagi mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat.
“Inilah contoh kerjasama yang rakyat mahu lihat iaitu jabatan dan agensi bergerak sebagai satu pasukan, bukan saling menuding jari. Saya percaya, jika budaya kerja seperti ini diteruskan secara konsisten, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan,” katanya.
Tegas beliau, rakyat kini lebih menilai tindakan berbanding retorik politik.
“Rakyat hari ini tidak mahu melihat siapa paling pandai bercakap atau menghentam orang lain. Rakyat mahu melihat siapa yang benar-benar hadir membantu, mendengar dan bekerja mencari penyelesaian demi masa depan mereka,” katanya. – UMNO Online
