Parlimen Setiawangsa Bukan Medan Percaturan Politik Elit

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil menegaskan bahawa kawasan Setiawangsa tidak seharusnya dijadikan pentas kepada percaturan politik elit atau polemik berkaitan kedudukan individu dalam parti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan membabitkan Nik Nazmi Nik Ahmad susulan kenyataan berhubung perjalanan politik dan perjuangan reformasi yang pernah dibawanya.

Menurut Fadzmel, sebarang isu berkaitan kedudukan kerusi Parlimen perlu dilihat sebagai amanah rakyat dan bukannya ruang untuk penyelesaian konflik politik dalaman.

“Kerusi Parlimen bukan milik individu dan bukan tempat persinggahan politik. Ia adalah amanah rakyat yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, rakyat ketika ini lebih mengharapkan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka berbanding mengikuti perkembangan perebutan pengaruh politik.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk peningkatan kos sara hidup, kesesakan trafik, isu parkir, keselamatan komuniti serta penyelenggaraan kawasan perumahan.

Fadzmel turut berpandangan bahawa fokus kepimpinan politik perlu kembali kepada agenda perkhidmatan rakyat, khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan peluang kepada golongan muda.

Beliau pada masa sama mendoakan yang terbaik kepada Nik Nazmi dalam perjalanan politiknya pada masa hadapan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO