Nak Kuburkan BN? Azman Anggap PH Sekadar Jual Retorik Murahan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail menyifatkan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) akan ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) sebagai sekadar retorik politik murahan yang cuba menutup kelemahan sendiri menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja bersifat provokatif, malah memperlihatkan kegagalan pembangkang untuk menerima hakikat bahawa rakyat Johor masih menilai berdasarkan rekod pentadbiran dan bukannya slogan kosong semata-mata.

“Kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) hanyalah satu retorik politik. Hakikatnya, kekuatan sebenar terletak pada rekod perkhidmatan, perpaduan jentera dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang bekerja dengan ikhlas.

“Oleh itu tidak timbul bahawa UMNO adalah ‘pengkhianat’ dan kali ini UMNO dan BN amat yakin akan dapat memperoleh lebih dari 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Atas keyakinan itu BN membuat keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi.

“BN Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan kemampuan mentadbir negeri dengan baik, mengekalkan kestabilan politik, memperkukuh ekonomi serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas Azman, perlu diingatkan bahawa Johor bukannya Kerajaan Perpaduan. Negeri ini ditadbir oleh UMNO dan BN selepas mendapat kemenangan 40 kerusi dari 56 kerusi DUNn pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Dalam masa sama beliau turut menghormati setiap pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat, namun percaya rakyat Johor tidak mudah terpedaya dengan slogan dan propaganda murahan menjelang pilihan raya.

“Saya menghormati pandangan dan keyakinan pihak lawan, namun saya percaya rakyat Johor adalah pengundi yang bijak dan matang dalam membuat keputusan.

“Untuk pengetahuan semua, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa bekerja 24 jam dan sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah dan membantu rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO