Gajah Borneo Dibunuh Kejam Di Tongod, Jafry Tegas Mahu Dalang Diburu

KOTA KINABALU, 19 Mei – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin melahirkan rasa amat sedih dan bimbang susulan penemuan seekor gajah Borneo mati dipercayai menjadi mangsa jenayah hidupan liar di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Sabah, laporan awal Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati bangkai gajah jantan itu ditemukan dengan bahagian muka dipotong dan gadingnya hilang dipercayai diambil secara haram.

Katanya, pemeriksaan lapangan dijalankan pada 18 Mei lalu melibatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah, Community Rangers serta Polis Diraja Malaysia selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai penemuan gajah mati berkenaan.

“Sekiranya siasatan mengesahkan penglibatan aktiviti pemburuan haram, pengambilan gading secara haram atau kesalahan lain berkaitan hidupan liar, tindakan tegas tanpa kompromi mesti diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, gajah Borneo merupakan antara spesies hidupan liar paling ikonik dan dilindungi di Sabah serta menjadi komponen penting dalam biodiversiti negeri itu.

“Sebarang tindakan yang mengancam kelangsungan spesies ini mesti dipandang serius,” ujarnya.

Difahamkan, kakitangan ladang di Tongod terdengar bunyi letupan kuat sekitar jam 5.30 petang pada 17 Mei lalu namun pemeriksaan tidak dapat dilakukan segera berikutan hujan lebat berterusan.

Keesokan paginya, pihak pengurusan ladang menemui bangkai gajah dengan sebahagian kepala dan gading telah hilang dipercayai dipotong menggunakan alat tajam.
Pemeriksaan awal mendapati haiwan itu dipercayai seekor gajah Borneo jantan (Elephas maximus borneensis) dengan ketinggian kira-kira 2.9 meter.

Pada masa sama, beliau meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah memperhebat operasi penguatkuasaan dan rondaan termasuk meneruskan kerjasama dengan PDRM bagi membanteras jenayah hidupan liar.

“Kita tidak boleh membiarkan Sabah menjadi tempat berleluasanya jenayah hidupan liar. Setiap kehilangan spesies dilindungi adalah kehilangan kepada warisan semula jadi dan masa depan biodiversiti Sabah,” tegas beliau lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO