PRN Johor Bukan Medan Uji Kaji Politik – Mohd Lassim

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dijadikan medan percubaan untuk menentukan kerajaan mana yang layak memerintah, sebaliknya kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri perlu menjadi keutamaan rakyat.

Ketua UMNO bahagian merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata, Johor tidak perlu terikut-ikut dengan percaturan politik yang boleh merugikan rakyat serta menjejaskan agenda pembangunan negeri.

Beliau berkata, kepimpinan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi bersama pasukan pentadbiran negeri telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai sektor termasuk kebajikan, pelaburan, ekonomi, pembangunan dan pendidikan.

“Johor tidak memerlukan eksperimen politik. Kejayaan yang dibawa kerajaan negeri pada hari ini tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia dilaksanakan demi masa depan Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Lassim berkata, agenda pembangunan negeri yang sedang dirangka menerusi Johor Maju 2030 memerlukan sokongan dan kesinambungan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

Katanya, antara yang menjadi tumpuan ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menyediakan kediaman yang lebih kondusif, memperkukuhkan sektor pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap hasrat BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sambil menyifatkannya sebagai tanda kesediaan dan keyakinan BN untuk terus membawa khidmat terbaik kepada rakyat.

Beliau turut menyeru rakyat Johor agar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan negeri bagi memastikan pembangunan dan kestabilan yang dicapai ketika ini dapat diteruskan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO