Pelancaran Jentera R10 BN Labuan Jadi Pemangkin Gelombang Perjuangan
LABUAN, 18 Mei — Majlis Pelancaran Jentera R10 Barisan Nasional (BN) P166 WP Labuan berlangsung dalam suasana penuh semangat dan membakar jiwa perjuangan seluruh jentera parti di pulau itu.
Program yang menghimpunkan ahli, penyokong serta sukarelawan daripada pelbagai peringkat itu dilihat sebagai simbol perpaduan dan kesiapsiagaan jentera menghadapi cabaran politik akan datang demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN di Labuan.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, pelancaran jentera tersebut bukan sekadar himpunan biasa, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada gerak kerja lebih tersusun dan menyeluruh untuk mendekati rakyat.
“Kekuatan sebenar BN bukan hanya terletak pada parti, tetapi pada kesatuan hati, disiplin jentera dan keikhlasan perjuangan untuk membantu rakyat. Sebab itu slogan ‘Satu Pasukan, Satu Matlamat, Satu Kemenangan’ perlu diterjemahkan melalui tindakan dan gerak kerja bersama,” katanya.
Menurut beliau, penubuhan Jentera R10 bertujuan memperkukuhkan gerak kerja di setiap peringkat selain memperkemaskan strategi bagi memastikan suara dan keperluan rakyat Labuan sentiasa diberi perhatian.
Beliau turut menegaskan bahawa seluruh jentera perlu bergerak sebagai satu keluarga besar yang mempunyai matlamat sama iaitu membawa kemenangan dan masa depan lebih baik kepada rakyat Labuan.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan, kerja keras dan pengorbanan seluruh pasukan, saya yakin gelombang kebangkitan BN di bumi Labuan akan terus membesar dan membawa sinar kemenangan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sebelum itu, Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa Mesyuarat UMNO Cawangan Sungai Miri menjadi penutup kepada keseluruhan Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO di Labuan bagi tahun ini.
Menurut beliau, walaupun Sungai Miri merupakan cawangan terakhir mengadakan mesyuarat, semangat ahli yang ditunjukkan amat luar biasa dan mencerminkan kebangkitan UMNO yang semakin dirasai di Labuan.
“Kehadiran lebih 130 ahli membuktikan bahawa UMNO semakin kembali diterima baik di hati rakyat. Sambutan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO yang tidak pernah berhenti membela nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sejak diberi amanah sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan empat tahun lalu, fokus utama beliau adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, hasil kerja keras dan komitmen seluruh jentera parti kini mula menampakkan hasil positif apabila rakyat kembali memberi sokongan dan kepercayaan kepada perjuangan UMNO dan BN.
“UMNO tidak pernah meninggalkan rakyat. Dalam susah dan senang, UMNO tetap turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, membantu yang memerlukan dan terus membawa suara rakyat tanpa jemu,” ujarnya.
Beliau yakin semangat perpaduan dan silaturahim yang semakin kukuh dalam kalangan ahli akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan lebih besar UMNO dan BN di Labuan pada masa akan datang. – UMNO Online
