Mohamad Hasan Seru Terus Perkukuh Gerak Kerja UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyempurnakan Persidangan Tahunan 2026 UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Rantau, Bahagian Rembau, petang semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menegaskan bahawa UMNO perlu terus menyusun strategi dan langkah perjuangan secara tepat, berhemah serta berpandangan jauh bagi memastikan parti itu kekal relevan dan terus mendapat kepercayaan rakyat, selaras dengan sambutan ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-80 tahun ini.

Menurut beliau, kekuatan parti di peringkat akar umbi khususnya di Rantau perlu diperkukuhkan menerusi gerak kerja yang lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan.

“Kekuatan UMNO Rantau perlu diterjemahkan melalui kesatuan ahli serta komitmen berterusan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 236 ahli yang hadir pada persidangan tersebut dan menyifatkan semangat kebersamaan yang ditunjukkan sebagai asas penting dalam memperkukuh perjuangan parti.

“Semoga semangat kebersamaan ini akan terus menjadi kekuatan kepada UMNO Rantau dalam mendepani cabaran masa depan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO