Kerajaan Negeri Johor Perluas Baucer Kasih Johor Secara Berfasa Ke 16 PBT

JOHOR BAHRU, 18 Mei — Kerajaan Negeri Johor akan memperluaskan pelaksanaan projek rintis Baucer Kasih Johor dan Menu Kasih Johor secara berfasa ke seluruh 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup serta memperkukuhkan ekonomi penjaja dan peniaga kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, inisiatif yang kini dilaksanakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, sebagai projek perintis kerajaan negeri, seramai 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima manfaat Baucer Kasih Johor bernilai RM200 yang boleh digunakan di medan niaga berkenaan.

“Insya-Allah, pelaksanaan Baucer Kasih Johor ini juga akan diperluaskan secara berfasa ke seluruh 16 kawasan PBT di Negeri Johor agar lebih ramai rakyat dan peniaga kecil dapat menikmati manfaat daripada inisiatif mesra rakyat ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, rakyat turut menikmati pelbagai pilihan Menu Kasih Johor yang mengetengahkan konsep “Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih” bagi membantu pengguna berjimat di samping memastikan aspek kebersihan serta kualiti makanan terus diberi perhatian.

Katanya, pendekatan tersebut menjadi model pembangunan medan niaga rakyat yang lebih progresif dan berdaya saing menerusi penambahbaikan aspek kebersihan, keselamatan, fasiliti awam serta pemantauan standard makanan dengan kerjasama Johor Chef Association (JCA).

“Penambahbaikan ini membuktikan bahawa medan niaga rakyat juga mampu menjadi lebih tersusun, selesa dan berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Medan Niaga Kampung Melayu Majidi yang mempunyai 147 unit premis turut diperkasakan melalui pemberian diskaun 50 peratus kadar caj menduduki dan caj perkhidmatan kepada peniaga bermula November 2025 hingga Disember 2026.

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri sebelum ini turut menghadkan kadar sewaan lot bazar Ramadan kepada maksimum RM500 di beberapa PBT utama termasuk MBJB, MBIP, MBPG dan MPKu sebagai langkah membantu penjaja dan peniaga kecil.

“Kerajaan Negeri Johor bukan sekadar bercakap mengenai kebajikan penjaja dan peniaga kecil, tetapi bertindak secara terus melalui dasar, penguatkuasaan dan intervensi di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4, kerajaan negeri turut meluluskan bantuan tunai one-off sebanyak RM300 kepada lebih 31,523 penjaja dan peniaga kecil berlesen di seluruh 16 PBT Johor dengan implikasi kewangan melebihi RM9.45 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif Baucer Kasih menerusi program naik taraf medan selera dan pusat niaga rakyat dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM34.9 juta.

“Bagi saya, membantu penjaja dan peniaga kecil tidak boleh bersifat bermusim atau sekadar kenyataan media. Ia memerlukan keberanian membuat keputusan, keprihatinan memahami denyut nadi rakyat dan tindakan yang benar-benar mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus komited menjadikan Johor sebagai negeri yang mesra rakyat, mesra peniaga dan pro-pertumbuhan ekonomi selaras dengan agenda Maju Johor serta aspirasi Bangsa Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO