BN Johor Sedia Tanding 56 Kerusi DUN Demi Kestabilan, Dengar Suara Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang disifatkan sebagai manifestasi keyakinan terhadap kestabilan politik, pengalaman pentadbiran serta kemampuan kerajaan negeri dalam meneruskan agenda pembangunan Johor.

Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pendirian yang dizahirkan oleh Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menunjukkan bahawa UMNO dan BN sentiasa mendengar denyut nadi rakyat serta suara akar umbi sebelum menentukan hala tuju politik negeri.

Beliau berkata, dalam landskap politik yang semakin mencabar dan tidak menentu, pendekatan tersebut mencerminkan kematangan politik dan rasa tanggungjawab terhadap masa depan Bangsa Johor.

“Keputusan untuk bersedia bertanding di semua 56 kerusi DUN bukan sekadar pengumuman politik, tetapi satu komitmen besar demi memastikan Johor terus menikmati kestabilan, kemajuan dan pentadbiran yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataanberkaitan hal terbabit.

Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini sedang bergerak dengan agenda pembangunan yang jelas menerusi gagasan Maju Johor yang memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan, menarik pelaburan berkualiti serta menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, kestabilan politik perlu terus dipertahankan supaya segala perancangan pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Rakyat mahukan politik yang tenang, kepimpinan yang bekerja dan kerajaan yang mampu memberi solusi kepada kehidupan harian mereka. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kestabilan menjadi perkara yang paling dihargai rakyat,” katanya.

Tambah beliau, hasrat BN Johor untuk bertanding di semua kerusi juga membawa mesej bahawa gabungan itu mahu menawarkan sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan mempunyai mandat jelas daripada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa Johor mempunyai sejarah politik yang unik dan sering menjadi contoh bagaimana politik boleh diurus secara sederhana, berhemah serta berpaksikan kestabilan.

“Semangat Muafakat Johor yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini perlu terus dipelihara agar perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama kekal utuh,” katanya.

Norshida berkata, rakyat kini lebih mengutamakan kestabilan dan kesinambungan dasar berbanding polemik politik yang berpanjangan, khususnya ketika negeri sedang giat melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk masa depan Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO