Guru Curah Ilmu, Bentuk Generasi Berguna Kepada Negara – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan ‘Hari Guru 2026’.
Menerusi hantaran di Facebooknya, jasa serta pengorbanan para guru dalam mendidik anak bangsa amat besar dan tidak ternilai, malah menjadi tunjang utama dalam melahirkan generasi yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
“Selamat Hari Guru 2026 kepada semua guru di seluruh negara khususnya di Negeri Kelantan dan kawasan Machang.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya zahirkan buat semua guru yang telah bertungkus lumus mendidik kita semua menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Tanpa bimbingan, teguran dan kasih sayang mereka tidak mungkin kita mampu berdiri di mana kita berada pada hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menjelaskan tugas seorang guru bukanlah sekadar mengajar di dalam kelas tetapi guru juga sanggup mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit demi melihat anak didik mencapai kejayaan di masa hadapan.
“Segala jasa dan bakti yang dicurahkan oleh para guru tidak mampu untuk kita balas. Tiada harta benda di dunia ini yang dapat menandingi nilai ilmu yang dicurahkan.
“Hanya Allah SWT jua yang mampu mengurniakan pahala yang berlipat ganda serta ganjaran terbaik buat semua guru,” katanya lagi.
Tambah Pengerusi FELCRA Berhad, mendoakan agar seluruh warga pendidik sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT atas segala pengorbanan yang dicurahkan demi mendidik anak bangsa.
“Semoga para guru kita sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dilindungi dan diberkati kehidupan dunia dan akhirat… Terima kasih Cikgu,” ujarnya. – UMNO Online
