Sekolah Rintis Johor Cipta Kebanggaan, Juara Pertandingan Inovasi Antarabangsa Di Jepun – Aznan
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin meluahkan keterujaan selepas Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2 mengharumkan nama negara dengan merangkul Tempat Pertama Anugerah Inovasi Idea Terbaik (Best Idea Innovation) di Sidang Kemuncak Belia Jepun & Program Pendedahan STEM Antarabangsa di Universiti Osaka Kyoiku, Jepun.
Beliau menyifatkan ia sebagai kejayaan luar biasa kerana pertandingan yang menghimpunkan 12 delegasi antarabangsa itu disertai pelbagai negara maju termasuk Amerika Syarikat, China, Kanada, Hong Kong serta negara-negara ASEAN.
“Dalam persaingan berprestij tersebut, anak-anak Johor berjaya mencuri perhatian juri antarabangsa menerusi idea inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah mempunyai nilai kemanusiaan serta kelestarian yang tinggi.
“Pasukan SRBJ yang dianggotai Farhah Azra Abdul Rahim, Muhammad Darwish Dhani Darmawi dan Shreeniithi dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 telah mempertaruhkan projek inovasi bertajuk “Craytion” di bawah bimbingan guru berdedikasi, Yogeshwari Chelliah.
“Projek ini merupakan inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi yang dibangunkan khas bagi menyokong terapi sensori kanak-kanak autisme melalui pendekatan pendidikan STEM yang inklusif dan lestari,” katanya.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Surat berkata lebih membanggakan, inovasi Craytion ini bukan sahaja memenuhi elemen kreativiti dan teknologi, malah membawa mesej besar berkaitan kelestarian alam sekitar, pendidikan inklusif serta kesejahteraan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 11 dan 12.
Menurut beliau ia sekaligus membuktikan bahawa anak Johor bukan sekadar mampu mencipta inovasi, tetapi mampu menghasilkan solusi yang memberi impak sebenar kepada masyarakat dunia.
Sementara itu Aznan turut sama memaklumkan kejayaan delegasi ini turut didorong hasil sokongan padu pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kerajaan Negeri Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang telah menyalurkan dana sebanyak RM10,000 bagi tujuan latihan intensif dan persediaan pertandingan.
“Delegasi ini diketuai oleh Pengetua SMK Seri Kota Puteri 2, Siti Norbayah yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan pelajar berada pada tahap terbaik sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
“Sepanjang berada di Jepun, delegasi SRBJ turut diberi peluang membuat lawatan akademik ke Kyoto University of Education bagi mendalami pendekatan pendidikan STEAM dan pembelajaran berasaskan inkuiri yang menjadi antara amalan utama sistem pendidikan bertaraf dunia.
“Pendedahan ini diyakini mampu memperkukuh budaya inovasi dan pemikiran global dalam kalangan pelajar Johor selaras dengan agenda pembangunan modal insan negeri.
“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelaburan Kerajaan Negeri Johor dalam agenda pendidikan SRBJ, STEM dan pembangunan bakat anak muda terus berada di landasan tepat demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten, progresif dan disegani di peringkat antarabangsa,” ujar beliua. – UMNO Online
