PROWIRA: Perkasa Masa Depan Anak Warga ATM Melalui Penempatan Kerja Selama 12 Bulan
KUALA LUMPUR, 15 Mei – PROWIRA – Ready To Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 adalah sebagai salah satu langkah untuk memperkasa masa depan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penempatan kerja selama 12 bulan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan anggota ATM turut bergantung kepada kesejahteraan diri dan keluarga selain latihan fizikal.

“Pada Khamis saya menyempurnakan Majlis Peluncuran PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026.
“Kesejahteraan anggota ATM merupakan tonggak penting Kementerian Pertahanan dan sebahagian daripada tanggungjawab moral kerajaan terhadap mereka yang telah berkorban demi kedaulatan serta keamanan negara.
“Kesiapsiagaan anggota ATM bukan sahaja bergantung kepada latihan fizikal dan taktikal, tetapi juga kesejahteraan diri serta keluarga. Sebab itu, dasar pertahanan negara perlu meletakkan kesejahteraan anggota tentera setara dengan pemodenan aset dan kelengkapan ketenteraan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, program tersebut memberi tumpuan pendidikan dan pembangunan anak-anak tentera melalui Yayasan LTAT.
“Majlis ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan anak-anak tentera melalui Yayasan LTAT menerusi Program e-Perkasa SPM, Program Sentuhan Elit SPM, Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T), Program STEM dan Simpanan Pendidikan Madani.
“Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan pula membuka peluang kepada 300 anak-anak tentera, kakitangan MINDEF dan veteran ATM menjalani penempatan kerja selama 12 bulan bersama syarikat yang bekerjasama dengan Yayasan LTAT melibatkan peruntukan RM7.2 juta,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa para peserta akan didedahkan dengan pengalaman kerja dan kemahiran berserta elaun RM2,000 sebulan.
“Peserta akan menerima elaun RM2,000 sebulan selain didedahkan dengan pengalaman kerja, kemahiran dan ‘soft skills’ bagi membantu mereka bersedia untuk alam pekerjaan.
“Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM juga mencatat pencapaian memberangsangkan apabila 175 pelajar anak tentera memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM, manakala empat sekolah di bawah kementerian mencatat peningkatan gred purata sekolah yang positif.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk industri, syarikat dan institusi pendidikan atas kerjasama strategik dalam menjayakan agenda kesejahteraan warga ATM serta keluarga mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
