Cadangan Pindaan Akta MARA 1966 Utamakan Pemerkasaan Tadbir Urus

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sebanyak 70 peratus daripada cadangan pindaan Akta MARA 1966 memberi tumpuan kepada usaha memperkasa tadbir urus institusi itu agar lebih telus dan berintegriti.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, ini kerana penelitian terhadap akta itu mendapati wujud pemusatan kuasa yang besar kepada Pengerusi dan Ahli Majlis MARA yang bukan sahaja bertanggungjawab terhadap soal dasar dan polisi, malah keseluruhan pengurusan serta pengoperasian MARA tanpa pemisahan kuasa

“Apabila saya mengambil alih menjadi Pengerusi MARA, perkara pertama yang saya teliti adalah Akta MARA 1966 sebagai punca kuasa utama MARA beroperasi. Yang mengejutkan saya betapa besarnya pemusatan kuasa kepada Pengerusi dan Ahli Majlis MARA yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bukan sahaja soal dasar dan polisi bahkan keseluruhan pengurusan dan pengoperasian MARA.

“Tiada langsung pemisahan kuasa yang sepatutnya ada dalam amalan biasa sesebuah organisasi antara ‘lembaga pengarah’ dan ‘pengurusan’. Maknanya Pengerusi MARA boleh sahaja mempengaruhi Majlis MARA membuat apa sahaja keputusan tanpa ada sebarang semak dan imbang asalkan kelulusan diperolehi oleh Majlis MARA.

“Sebab itulah cadangan pembaharuan dan pindaan terhadap Akta MARA ini melibatkan 70 peratus daripadanya berkenaan dengan memasukkan amalan tadbir urus yang baik berasaskan piawaian antarabangsa.

“Antaranya mengurangkan kuasa Pengerusi MARA yang dimbangkan dengan mewujudkan pelbagai Jawatankuasa wajib seperti Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pelaburan, Jawatankuasa Syariah, Jawatankuasa Kewanangan dan Tadbir Urus dan Jawatankuasa Risiko. Malah tiada lagi pemusatan kuasa yang besar kepada Pengerusi MARA dengan mewujudkan pemisahan kuasa jelas antara Majlis dengan pengurusan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Dr Asyraf jika tidak dilakukan perubahan, MARA yang kini menjadi sebuah konglomerat besar dengan nilai RM23 bilion aset dibawah pengurusannya boleh terdedah kepada risiko penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penyimpangan.

Katanya lagi, sejak 1960-an istilah tadbir urus korporat dan tatakelola yang baik masih belum dibincangkan secara meluas, pada ketika itu MARA hanya mempunyai sebuah institut latihan yang dikenali Maktab MARA setelah ditransformasi daripada Sekolah Latihan RIDA tahun 1967.

“Kini, dengan jumlah 345 institusi pendidikan seluruh Malaysia, lebih 135 ribu pelajar aktif dibawah pembiayaan MARA, bersama pelbagai program pembangunan usahawan termasuk pembiayaan dan 32 anak-anak syarikat dengan keseluruhan aset bernilai RM23 Bilion, pastinya memerlukan kerangka tadbir urus yang lebih ketat dan tatakelola kewangan yang lebih kemas.

“Justeru bermula 2023, sebuah Jawatankuasa Khas dibentuk dengan diketuai oleh Ahli Majlis MARA Tan Sri Muhammad Ibrahim bekas Gabenor Bank Negara untuk meneliti Akta MARA 1966 secara menyeluruh terutamanya aspek tadbir urus.

“Selain daripada aspek tadbir urus, mandat MARA untuk memartabatkan agenda pendidikan, pembangunan ekonomi dan pelaburan orang Melayu dan Bumiputera diperkukuhkan lagi dengan tidak hanya memfokuskan kepada masyarakat luar bandar sebagaimana dalam Akta 1966. Ini kerana 76 peratus orang Melayu dan Bumiputera hari ini berada di bandar dan bukan hanya sekadar luar bandar yang menjadi fokus MARA tahun 60-an.

“Semoga segala usaha untuk melakukan pindaan Akta MARA mampu meletakkan MARA sebagai insitusi Melayu dan Bumiputera yang lebih perkasa dan kekal utuh untuk dekad-dekad mendatang,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO