Projek Naik Taraf Lebuh Raya Pasir Gudang Capai Kemajuan 83 Peratus – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Projek Menaik Taraf Lebuh Raya Pasir Gudang (FT17) telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, laluan sepanjang 6.4 kilometer telah dibuka untuk kegunaan orang ramai.

“Syukur alhamdulillah, Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus, dengan 6.4 kilometer laluan telah dibuka dan digunakan oleh orang ramai.
“Saya telah turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan projek sepanjang sepuluh kilometer dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting hingga ke Pasir Gudang ini, yang merupakan antara usaha penting untuk mengurangkan kesesakan trafik yang sekian lama menjadi rungutan rakyat.
“Setakat ini, baki 3.6 kilometer laluan utama dijangka dapat dibuka sepenuhnya pada bulan Ogos tahun ini, manakala kerja-kerja akhir termasuk kemasan dan penyelarasan infrastruktur lain akan diteruskan sehingga siap sepenuhnya pada November 2026,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau turut meninjau projek penambahbaikan Smart Traffic Light di Persimpangan Taman Kota Puteri dan Taman Teluk Tropikana, Lebuhraya Permas–Pasir Gudang.
“Inisiatif ini dilaksanakan untuk mengoptimumkan sistem kawalan trafik khususnya bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar, terutama pada waktu puncak.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor akan terus berusaha dalam memperkukuh jaringan jalan raya, mengurangkan kesesakan trafik dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di Johor demi keselesaan, keselamatan serta kesejahteraan kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
