Pemuda UMNO Terengganu Buat Laporan Polis Isu Ceramah Hina Sahabat Nabi
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu membuat satu laporan polis terhadap seorang pemimpin parti politik ekoran petikan ceramah yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.
Diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Tengku Haphiz Tengku Putera, laporan tersebut dibuat susulan dakwaan pemimpin terbabit yang menceritakan kisah berkaitan keperibadian seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Penyebaran kisah palsu dan dangkal seperti ini tidak wajar dijadikan bahan ceramah kerana ia menyentuh kesucian agama serta boleh mengelirukan umat Islam,” kata mereka menerusi satu hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, mereka berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak polis terhadap individu terbabit mengikut lunas undang-undang.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Terengganu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang agar menjadi pengajaran kepada semua pihak,” ujar mereka.
Turut hadir pada laporan polis tersebut ialah pimpinan Pemuda Amanah, AMK serta mahasiswa.
Terdahulu, tular petikan ucapan pemimpin tersebut di media sosial yang menyentuh mengenai kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Dalam ucapan tersebut, pemimpin berkenaan didakwa menggambarkan Sayidina Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana dikatakan gemar memberi pinjaman kepada orang ramai serta menekan golongan miskin, manakala Sayidina Umar pula digambarkan sebagai berperwatakan keras dan ganas. – UMNO Online
