Nik Muhammad Didesak Letak Jawatan Susulan Kenyataan Kontroversi
PASIR PUTEH, 14 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Puteh mendesak Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, memohon maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina sahabat Rasulullah SAW.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali, berkata kenyataan yang menyentuh kemuliaan sahabat Rasulullah SAW tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk penghinaan terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW yang disifatkan sebagai golongan paling berjasa dalam membantu menyebarkan ajaran Islam selepas kewafatan Baginda.
“Kami rakyat Pasir Puteh tidak memerlukan pemimpin politik sebegini. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan, fitnah dan perpecahan umat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini semalam.
Muhammad Saifullah juga berkata majoriti ulama Ahli Sunah Waljamaah sepakat bahawa menghormati sahabat Rasulullah SAW ialah tuntutan penting dalam Islam dan perbuatan menghina atau mencela mereka dikategorikan sebagai dosa besar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintenden Saari Yaacob ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut bagi melengkapkan siasatan berhubung kenyataan Nik Muhammad yang didakwa menghina sahabat Rasulullah SAW. – BERNAMA
