Melayu Perlu Kembali Bersatu Kukuhkan UMNO Demi Masa Depan Negara – Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Mei — Timbalan Ketua UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata penubuhan UMNO bermula atas dasar penyatuan dan kesatuan orang Melayu, justeru semangat tersebut perlu terus diperkukuhkan demi memastikan perjuangan parti kekal relevan.
Menurut beliau, amanah yang diberikan oleh orang Melayu kepada UMNO perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan perpaduan terus terpelihara selain mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu.
Katanya, orang Melayu perlu kembali kuat di bawah payung UMNO untuk terus memimpin negara serta menjaga soal agama dan kedaulatan institusi diraja.
“Kenapa UMNO ditubuhkan? Ia lahir daripada semangat penyatuan orang Melayu. Amanah orang Melayu kepada kita adalah untuk memastikan mereka terus bersatu padu dan dipimpin dengan penuh tanggungjawab.
“Apabila memikul amanah, ia berkait rapat dengan soal integriti. Sebab itu pemimpin dan ahli parti perlu menjaga kepercayaan yang diberikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO hanya akan kembali kuat sekiranya orang Melayu kembali bertaut dan mengetepikan perbezaan yang boleh melemahkan perjuangan parti.
Menurutnya, sikap ego perlu dibuang kerana ia boleh memudaratkan perjuangan yang dibina demi masa depan agama, bangsa dan tanah air.
“Kalau ego boleh memudaratkan perjuangan, maka kita kena letak tepi soal ego itu. Perjuangan ini melibatkan masa depan agama, bangsa dan tanah air.
“Sebab itu kita kena buang ego demi memastikan perjuangan UMNO terus kukuh dan mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi.- UMNO Online
