Lapan Dekad Bukti UMNO Terus ‘Survive’ Demi Masa Depan Negara – Abdul Fattah

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Tempoh lapan dekad perjuangan yang dilalui UMNO menjadi bukti jelas kematangan serta ketahanan parti keramat itu dalam mendepani pelbagai cabaran politik negara.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sepanjang perjalanan tersebut UMNO telah melalui pelbagai ujian dan rintangan, namun parti itu terus kekal relevan serta memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

Menurutnya, walaupun UMNO tidak lagi menjadi peneraju utama kerajaan sepenuhnya ketika ini, parti berkenaan tetap menjadi tonggak penting dalam landskap politik tanah air.

“Tempoh lapan dekad ini adalah satu tempoh matang yang memberikan keyakinan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang mampu ‘survive’. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, parti ini masih memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju serta masa depan negara.

“Kekuatan yang dimiliki UMNO ketika ini perlu dijadikan asas untuk melakukan lonjakan lebih besar pada masa hadapan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan parti seperti suatu ketika dahulu serta memainkan peranan penting dalam mengetuai kepimpinan dalam negara pada masa mendatang.

“Sudah tentu ini memerlukan komitmen serta penglibatan semua pihak dari peringkat akar umbi sehingga tertinggi parti. Bagi mencapai penglibatan tersebut harus melihat kelemahan dan sekiranya terdapat kelemahan harus diperbaiki. Sekiranya ada kekuatan haruslah diperkasakan supaya dapat bergerak dengan lebih jitu dan kuat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap gagasan yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menjadikan UMNO sebagai ‘payung’ kepada semua rakyat menerusi gagasan ‘Rumah Bangsa’.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menegaskan bahawa sejarah dan nostalgia perjuangan UMNO tidak boleh dipisahkan kerana parti itu merupakan antara tonggak utama yang banyak berjasa kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Jasa UMNO terlalu besar dan tidak ternilai. Rakyat sudah menikmati hasil dari UMNO dan segala pencapaian sepanjang lebih 60 tahun mentadbir negara perlu dijadikan asas dan platform untuk menghadapi 100 tahun perjuangan akan datang dengan lebih gemilang,” katanya lagi.

“Rekod pencapaian UMNO ketika memerintah negara menjadi bukti jelas kemampuan parti itu dalam memajukan negara serta memastikan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu mendapat manfaat daripada dasar dan perjuangan parti.

“Segala kejayaan tersebut perlu dijadikan sandaran untuk menawarkan agenda yang lebih baik kepada rakyat pada masa hadapan. UMNO perlu terus dilihat, dirasai dan diyakini sumbangan serta peranannya oleh rakyat demi memastikan parti ini terus kekal dan mendapat tempat di hati masyarakat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi perlu bergerak seiring dengan pendekatan lebih tersusun, progresif dan dekat dengan rakyat supaya peranan serta sumbangan parti dapat dilihat dan dirasai secara langsung oleh masyarakat.

“Marilah bersama-sama menyusun dan mengatur semula strategi serta memperkemaskan lagi gerak kerja agar terus menyakinkan dan menarik minat rakyat supaya UMNO dilhat dan dirasai sumbangan serta peranannya dapat terus dipertingkatkan sokongannya.

“Tingkatkan iltizam dan komitmen serta terus mendekati rakyat dengan agenda perjuangan dengan cabaran semasa tanpa mengabaikan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO