Kenduri Kampung Batu Kurau Satukan Masyarakat, 80 Siswa Sertai Program Anak Angkat

BATU KURAU, 14 Mei — Suasana penuh meriah dan harmoni menyelubungi Kampung Sempeneh apabila Program Kenduri Kampung & Majlis Perasmian Anak Angkat Pengguna Siswa berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, mahasiswa serta pemimpin negeri dalam satu majlis penuh makna, baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Perkarangan Gelanggang Futsal Kampung Sempeneh itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang diiringi Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohamad Daud.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar Perak (PKMB) DUN Batu Kurau dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Negeri Perak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Perak.

Seramai 80 orang siswa dan siswazah dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara telah terpilih menyertai Program Anak Angkat Pengguna Siswa yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai budaya dan kehidupan masyarakat kampung.

Selain mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan penduduk setempat, program ini turut menjadi platform memperkukuhkan semangat perpaduan serta nilai kemasyarakatan.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada para siswa, malah menjadi medium terbaik untuk menyemai semangat kekeluargaan, memperkenalkan budaya tempatan dan mengukuhkan hubungan antara rakyat serta pemimpin,” kata Mohamad Daud.

Ujarnya, penganjuran program seumpama ini sebagai langkah positif dalam menghidupkan semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam komuniti.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak serta Jualan Rahmah yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO