AIAC Tawar Mediasi Percuma Untuk Pertikaian Komersial Bernilai RM250,000 Ke Bawah Mulai 18 Mei

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Orang ramai kini boleh merujuk pertikaian komersial bernilai RM250,000 dan ke bawah terus kepada Asian International Arbitration Centre (AIAC) bagi mendapatkan khidmat mediasi secara percuma bermula 18 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu melibatkan pelbagai skop pertikaian komersial termasuk perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, selain e-dagang serta ekonomi digital.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha memperkukuh akses kepada keadilan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan serta rakyat yang berdepan pertikaian bernilai kecil.

“Bermula 18 Mei 2026, orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial ini terus kepada AIAC atau dalam talian. Pendekatan ini dijangka memberi manfaat penting khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan dan penggiat industri termasuk industri kreatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bagi menjayakan inisiatif berkenaan, seramai 170 pengantara tempatan dan antarabangsa telah menyatakan sokongan terhadap AIAC serta bersedia mengendalikan proses mediasi secara percuma buat masa ini.

Azalina berkata, pendekatan tersebut selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi dan meningkatkan kecekapan sistem keadilan negara.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan MADANI selaras dengan agenda reformasi institusi serta usaha meningkatkan kecekapan sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO