UMNO Ke-80: Memperkukuh Perjuangan, Mengangkat Harapan Baharu
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Ali Amir Razali berpandangan sambutan 80 tahun harus menjadi titik memperbaharui tekad dalam mengangkat semula keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang stabil, matang dan berwibawa.
Katanya ia juga perlu seiring dengan memperkukuh perpaduan dalaman di samping memperkemas gerak kerja bagi memastikan parti ini terus kekal relevan dalam menempuhi cabaran politik.
“Ulang tahun ke-80 UMNO bukan sekadar simbol perjalanan masa, tetapi lambang ketahanan sebuah perjuangan yang terus kekal relevan dalam landskap politik negara.
“Selama lapan dekad, UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan zaman namun kekal berdiri sebagai wadah yang dekat dengan rakyat serta konsisten memperjuangkan kestabilan, pembangunan dan masa depan negara.
“Dengan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur, UMNO akan terus melangkah ke hadapan membawa harapan baharu demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.
Ali Amir dalam pada itu turut sama berharap Pemuda UMNO terus memikul tanggungjawab besar untuk memastikan perjuangan ini terus segar dan diyakini generasi baharu.
Menurut beliau ini kerana dalam suasana politik yang semakin mencabar, Pemuda UMNO perlu tampil dengan pendekatan yang lebih progresif dan matang dan berpaksikan realiti semasa khususnya dalam isu melibatkan belia, ekonomi dan kos sara hidup.
“Sebagai ahli sejak 2012, saya melihat sendiri bagaimana kekuatan UMNO terbina daripada kesetiaan ahli di peringkat akar umbi. Bermula sebagai ahli biasa sehingga kini diberi amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, pengalaman ini mengajar bahawa perjuangan parti tidak pernah terpisah daripada denyut nadi rakyat.
“Dalam semangat Rumah Bangsa, UMNO perlu terus menjadi platform penyatuan yang menghubungkan masyarakat melalui nilai kebersamaan, hormat dan tanggungjawab bersama demi masa depan negara. Gagasan ini penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat bahawa UMNO sentiasa bersedia mendengar, memahami dan bertindak,” ujar beliau. – UMNO Online
