UMNO 80 Tahun: Nostalgia Kembali Ke Istana Johor, Tekad Perkukuh Khidmat Untuk Rakyat

JOHOR BAHRU, 13 Mei – Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO disifatkan penuh nostalgia apabila perjalanannya selama lapan dekad kembali mengimbau sejarah lantaran kembali ke Negeri Johor, termasuk kunjungan ke Istana Johor.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, detik ulang tahun ini menjadi ruang refleksi terhadap perjuangan panjang UMNO dalam politik negara serta peranannya dalam pembangunan rakyat.

Menurut beliau, kekuatan UMNO tetap bertunjangkan khidmat kepada rakyat, khususnya melalui pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang telah dilaksanakan sepanjang pentadbiran, melibatkan agenda kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“UMNO meraikan ulang tahun ke-80 ini agak nostalgia kerana selepas 80 tahun UMNO kembali ke Istana Johor,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar UMNO terus diberikan kekuatan dan kembali meraih kepercayaan rakyat pada masa akan datang.

“Moga UMNO yang telah banyak berjasa dan berkhidmat kepada negara ini dikurniakan kekuatan dan kepercayaan supaya pada masa akan datang kita dapat memenangi pilihan raya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau yang juga ADUN Bukit Permai menegaskan bahawa kepimpinan di semua peringkat terus komited memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat,
selaras dengan cogan kata UMNO.

“Inilah kekuatan UMNO iaitu kita di peringkat pemimpin sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada bangsa Johor dan rakyat Malaysia sesuai dengan cogan kata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa usaha berterusan kerajaan negeri sentiasa diaktifkan sebagaimana beliau yang bertanggungjawab di bawah portfolio perumahan dan kerajaan tempatan malah menjadi antara bukti komitmen menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO