Pahang Komited Realisasikan STRFP, 16,035 Lot Untuk Generasi Baharu FELDA

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam berkata kerajaan negeri komited merealisasikan Projek Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) dengan memperuntukkan 16,035 lot untuk generasi baharu.

Menurut Amizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri telah meluluskan cadangan penambahbaikan pelaksanaan STRFP.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri melalui MMK Bilangan 34/2025 telah meluluskan cadangan penambahbaikan pelaksanaan STRFP bagi tujuan pemberimilikan tanah kerajaan kepada generasi baharu FELDA untuk pembinaan kediaman dengan keluasan setiap lot ditetapkan 3,000 kaki persegi tertakluk kepada kesesuaian pembangunan.

“Sehingga kini, pelan ukur bagi enam lokasi telah dikemukakan melibatkan FELDA Keratong 05, FELDA Selendang 02, FELDA Jengka 05, FELDA Jengka 14 dan FELDA Jengka 20 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,236 lot,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook di hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Selasa.

Perkara tersebut diutarakan bagi menjawab soalan daripada ADUN Kemayan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, berkaitan status terkini STRFP yang melibatkan penawaran sebanyak 16,035 lot rumah kepada generasi baharu FELDA yang layak di seluruh Negeri Pahang.

Tambah Amizar lagi, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang telah melaksanakan semakan dan pengesahan awal sebelum dimajukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah bagi proses pemilihan peserta yang layak, manakala baki 67 kawasan lain masih berada di peringkat kerja ukur dan penyediaan pelan dengan sasaran penyelesaian dalam tahun 2026.

Selain itu katanya, Mesyuarat Penyelarasan STRFP Bilangan 2 Tahun 2026 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal dan Task Force khas yang diketuai oleh PTG Pahang bersama penglibatan Pejabat Daerah dan Tanah, FELDA Wilayah Kuantan, Jengka dan Mempaga serta LPHP sebagai penasihat teknikal.

Katanya lagi, Sekretariat Muafakat FELDA Pahang turut dilibatkan bagi membantu urusan pembiayaan kos tertentu dan kos luar jangka untuk mempercepatkan proses pelaksanaan STRFP serta memastikan pembangunan rumah generasi baharu FELDA dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan mampan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO