Kesetiaan Ahli Jadi Kekuatan UMNO Harungi Lapan Dekad Perjuangan – Hasnol Ayub

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Kesetiaan ahli dan pimpinan parti menjadi tunjang utama kekuatan UMNO dalam menempuh pelbagai cabaran sepanjang 80 tahun perjuangannya, kata Timbalan Ketua UMNO Sabah, Mohd Hasnol Ayub.

Beliau berkata, UMNO kekal berdiri teguh hingga hari ini kerana semangat perjuangan yang terus dipertahankan oleh seluruh akar umbi parti demi agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya, perjalanan lapan dekad UMNO bukan sekadar catatan sejarah, tetapi membuktikan ketahanan parti dalam mempertahankan kestabilan serta keharmonian negara.

“80 tahun perjuangan bukan sekadar angka, tetapi lambang kekuatan, kesetiaan dan pengorbanan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya sempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berkata, UMNO telah melalui pelbagai cabaran politik dan perubahan landskap negara namun terus memainkan peranan membawa suara rakyat.

Katanya, penghargaan wajar diberikan kepada seluruh ahli dan pimpinan yang terus setia bersama perjuangan parti sehingga UMNO kekal relevan sehingga kini.

“Saya dengan rendah diri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli dan pimpinan yang terus setia bersama perjuangan ini.

“Semoga UMNO terus kukuh, bersatu hati dan relevan dalam mendepani cabaran masa depan demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Mohd Hasnol yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang turut menyeru seluruh ahli agar terus mempertahankan semangat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” demi memastikan perjuangan parti terus diperkasakan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO