Hina Sahabat Nabi: Pemuda UMNO Desak Penjelasan, Tuntut Dalil Al-Quran dan Hadis

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Saleh, mendesak Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh supaya memberikan dalil daripada al-Quran atau hadis berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh serta memperkatakan hal berkaitan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Beliau menegaskan bahawa sebarang tuduhan atau kenyataan yang melibatkan sahabat Nabi adalah perkara serius dan tidak wajar dipermainkan, selain menggesa penjelasan segera daripada pihak berkenaan.

“Kami minta dalil dari al-Quran dan hadis. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis agar tindakan yang berat dikenakan,” tegasnya.

Menurut beliau, Pemuda UMNO akan menggerakkan tindakan membuat laporan polis di seluruh negara sekiranya tiada penjelasan atau permohonan maaf dibuat oleh pihak terlibat.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menuntut agar Ahli Parlimen terbabit membuat permohonan maaf kepada umat Islam, sambil menegaskan bahawa isu membabitkan sahabat Nabi tidak sepatutnya dijadikan bahan perdebatan yang boleh menimbulkan sensitiviti agama.

Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO