UMNO Masih Disayangi Orang Melayu, Tiba Masa Lakukan Pembaharuan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Veteran UMNO Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff berpandangan satu perubahan besar perlu dilaksanakan demi memastikan kelangsungan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu.

Beliau berkata UMNO perlu tampil dengan pembaharuan yang meyakinkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“Maka masih belum terlambat untuk UMNO berubah dan membuah anjakan berani bagi survival UMNO. Nasib baik UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan dan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Jika tidak, entah apa lagi nasib UMNO.

“Pemimpin UMNO harus sedar kejujuran dan amanah adalah pegangan mustahak sebagai unsur penting dalam penampilan UMNO yang ingin berubah dan menguasai semula sokongan khasnya orang Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Dr Mohd Yussof lagi, UMNO pada ketika ini masih disayangi oleh orang Melayu sekaligus membuktikan parti ini masih mempunyai tempat tersendiri sebagai suara yang memperjuangkan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu.

Mengulas isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, beliau berkata perkembangan tersebut menunjukkan elemen perkauman di negara ini masih kuat, sekali gus menuntut UMNO untuk terus memainkan peranan sebagai parti yang mempertahankan kepentingan Melayu.

“Hakikatnya masih ramai orang Melayu yang sayang kepada UMNO. Hanya UMNO mampu bersuara tanpa segan silu demi kepentingan umat Islam dan Bangsa Melayu.

“Lihat sahaja isu-isu berkaitan perkauman seperti kuil dan khinzir sangat berat kerana dipermainkan dari perspektif perkaumanan.

“Nyata lagi terang, unsur perkauman di Malaysia sangat berat dan jitu. Maka UMNO parti Melayu masih relevan dan diperlukan oleh orang Melayu.

“Maka selamatkan UMNO daripada ditolak oleh orang Melayu sendiri. Semuanya ini terletak di tangan pemimpin-pemimpin UMNO yang ada dan peka kepada untung nasib Melayu,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO